Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan sejumlah RM150,000 dibayar kepada saksi utama kes perbicaraan pertama bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berjaya menyaman akhbar terbitan Kumpulan Karangkraf.

Ummi dalam samannya mendakwa rencana muka depan Bacaria bertajuk 'Ummi Halfilda Nikah' itu menyebabkan beliau "berasa malu untuk berjumpa orang ramai dan rakan."

Dalam rencana itu, beliau dilaporkan berkahwin dengan seorang rakan lelakinya, Khairudin Abu Hassan, yang sering kelihatan ke mahkamah ketika perbicaraan awal Anwar.

Kumpulan Karangkraf, syarikat percetakan Ultimate Print dan Bacaria masing-masing dikehendaki membayar ganti rugi am sebanyak RM50,000 kepada Umi dan Khairudin.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Kamalanathan Ratnam juga memutuskan tuntutan ganti rugi tambahan (aggravated) sebanyak RM50,000 daripada tiga defenden tersebut.

Kedua-dua plaintif hanya berjaya mendapat RM300,000 daripada tuntutan awal sebanyak RM20 juta itu. ([#1]'Fitnah Bacaria' : Ummi Hafilda tuntut RM800,000[/#], 13 Mac)

Bagaimanapun, perintah mahkamah itu masih boleh dibuat rayuan.

"Ketiga-tiga defenden boleh membuat rayuan dalam masa 30 hari," jelas peguam defendan, Nurul Akmar Omar kepada malaysiakini petang tadi.

Defenden turut diwakili peguam, Haris Mohd Ibrahim. Manakala plaintif diwakili oleh peguam, John Clark Sumugod dan Low Chee Hoong.

Rencana yang diterbitkan di halaman depan dan muka surat kedua Bacaria itu memetik satu ulasan seperti dipaparkan di laman web reformasi tahun lepas.

Penulis cerita di laman web itu mendakwa beliau seorang kenalan rapat kepada keluarga Khairuddin. Penulis itu mendakwa Khairuddin bertunang dengan Ummi ketika kes Anwar sedang hangat di mahkamah.

Pasangan itu diceritakan kemudiannya berkahwin dalam satu majlis kecil-kecilan di Kampung Kebun Sireh, dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Majlis tersebut diadakan secara sederhana kerana masyarakat setempat tidak suka kepada keluarga Khairuddin, menurut sumber Bacaria itu.

Ummi menegaskan, penerbitan akhbar itu tidak bertanggungjawab kerana menyiarkan artikel berkenaan walaupun abangnya, Azwan Ali, menafikan perkahwinan itu ketika dihubungi penulis artikel Bacaria , Iman Imran tahun lalu.

Selain menuntut ganti rugi berbentuk wang, kedua-dua plaintif meminta defenden memohon maaf secara terbuka dalam akhbar Berita Harian dan

Utusan Malaysia , tujuh hari selepas tarikh penghakiman saman berkenaan.

Bagaimanapun hakim mahkamah hari ini menjelaskan tuntutan mohon maaf tidak diperlukan dan memadai dengan tuntutan ganti rugi wang sahaja.