Kemarahan orang buta jelas kelihatan apabila pagar Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) yang terkatup rapat bukan halangan bagi kumpulan yang tidak puas hati dengan kepimpinan badan itu.

Dalam bantahan hari ini, kira-kira 60 orang buta menyerbu ibu pejabat MAB di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Mereka mahu berkumpul di dalam halaman pejabat itu tetapi pintunya dikunci.

Berang dengan tindakan itu mereka cuba memecahkan pintu itu dan sebahagian mereka kelihatan memanjatnya dan berjaya bolos ke dalam.

Bagaimanapun, suasana tegang tidakb erpanjangan dan selepas 20 minit, pintu masuk itu dibuka dan orang buta itu meneruskan bantahan mereka di kawasan halaman pejabat MAB.

Laungan seperti “Hidup orang buta” dan “lawan tetap lawan” kedengaran bergema.

Lapor SPRM

Kelihatan juga kain rentang bertulis “harap pagar, pagar makan padi” dipamerkan.

Protes dua jam itu diketuai oleh kumpulan dinamakan Solidariti Orang Buta Malaysia (SOBM), yang mahu empat kepimpinan teratas MAB berundur atas alasan amalan rasuah dan mengabaikan golongan itu.

Protes hari ini yang kedua dalam tempoh dua bulan.

SOMB mendakwa terdapat amalan tidak telus dan pembaziran serta membuat laporan berkaitan dakwaan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Empat kepimpinan atasan MAB bukan orang buta atau cacat penglihatan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi MAB untuk mendapatkan reaksi mereka berhubung bantahan hari ini.

[Baca berita asal]