Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengingatkan bahawa ahli-ahli parti yang melanggar arahan di Permatang Pauh berdepan tindakan disiplin yang berat.

Lim berkata isu parti itu menarik sokongannya terhadap jentera pilihan raya kecil PKR adalah "tidak benar".

"Kami berdiri teguh di belakang PKR dan calonnya (yang juga presidennya) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya kecil ini," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang.

"Saya bercakap sebagai pemimpin nombor satu dalam DAP. Jika sesiapa melanggar arahan parti (yang menyokong PKR), tindakan keras akan diambil terhadap mereka. Jangan main, main," kata ketua menteri Pulau Pinang itu.

Lim (kiri) merujuk kepada laporan Malaysiakini pagi ini yang memetik seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat sebagai berkata DAP tidak gembira dengan jentera pilihan raya PKR yang mengabaikan masyarakat India.

Pemimpin itu mendakwa jika PKR tidak memperkemaskan jenteranya, ahli DAP akan menarik diri daripada berkempen dalam pilihan raya kecil itu yang masuk hari kelapan.

Pemimpin kanan berkenaan memberitahu Malaysiakini bahawa beliau membuat kesimpulan tentang PKR itu selepas berkempen di Kampung Bagan Serai.

Kampung itu di bawah Seberang Jaya dan penyandangnya, Dr Afif Bahardin dari PKR, telah berkata beliau mengambil berat masalah semua kaum.

Bercakap dalam satu sidang akhbar pagi ini, Dr Afif berkata Seberang Jaya berada di bawah Umno selama lebih 50 tahun, jadi pihaknya sedang meneliti semua masalah mereka untuk menyelesaikannya.

Dr Afif memenangi kerusi Seberang Jaya dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Lim berkata isu DAP menarik diri daripada kempen pilihan raya kecil itu adalah "tidak berasas dan tidak benar".

"Saya memberi amaran (kepada ahli) kerana perkara itu tidak benar, pendirian parti itu terhadap PKR adalah tanpa syarat," katanya.

"Kami menyokong Wan Azizah kerana pendirian PKR dan pendirian beliau mengenai isu-isu negara," katanya.

"Jika mereka ada masalah dengan jentera, ia boleh ditambahbaik," katanya sambil menambah bahawa tidak timbul soal untuk menarik diri.

Wan Azizah berdepan dengan pertandingan empat penjuru dengan calon BN Suhaimi Sabudin, Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas).

Dalam pemilihan 2013, PKR ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 11,721. Beliau mendapat 40 peratus undi Melayu, 88 peratus undi Cina dan 60 peratus undi kaum India.

Sementara itu, dalam sidang akhbar lain hari ini, Timbalan Setiausaha Agung DAP, P Ramasamy berkata parti itu sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan PKR.

Jika terdapat masalah yang timbul antara kedua-dua parti itu, ia akan diselesaikan secara dalaman, katanya.

Beliau menafikan ada pemimpin India yang telah mengancam untuk memboikot kempen pilihan raya kecil itu.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS