Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Memasukki hari ke-12 berkempen dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh, calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih lagi kekal sihat dan bertenaga untuk merayu undi.

Walaupun digelar "nenek" oleh BN, wanita berusia 63 tahun itu sedikit pun tidak mengendahkan gelaran itu bahkan membuktikan bahawa beliau mampu bekerja setanding golongan muda.

Dengan tenaga yang "luar biasa" itu - mampu berkempen dari pagi hingga malam selama hampir dua minggu - ibu kepada enam orang anak ini mendedahkan rahsianya kekal sihat dan bertenaga dengan mengamalkan makanan tambahan.

"Pada hari pertama (berkempen) saya demam. Tapi saya makan ubat, supplement, minyak kelapa dara dan minyak ikan yang dalam kapsul serta vitamin C.

"Saya (juga) ada kipas," kata Dr Wan Azizah sambil ketawa kecil.

Presiden PKR itu menjawab soalan pemberita bagaimana beliau menjaga kesihatan memandangkan cuaca di Permatang Pauh yang tidak menentu - kadangkala panas dan hujan.

Bagaimanapun, dalam sidang media pagi tadi, Dr Wan Azizah memberitahu bahawa beliau mengalami sakit tekak hingga menyebabkan suaranya serak seakan-akan suara penyanyi yang digelar ratu rock, Ella.

"Dah macam Ella suara saya ini," katanya sambil ketawa kecil.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Wan Azizah, Suhaimi Sabudin (BN), Azmi Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas).

Kesemua calon diberi masa selama 12 hari untuk berkempen dan esok kira-kira 70,000 orang akan mengundi.

Ia diadakan selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara lima tahun yang menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.

Lihat Komen
ADS