Selepas empat dekad pembabitan Seniman Datuk M Nasir dalam bidang nyanyian, artis terkemuka tanahair itu akan mengadakan jelajah konsert solo buat julung kalinya hujung bulan depan ini hingga November.
Menurut M Nasir beliau bersyukur dan teruja apabila konsertnya ditaja syarikat telekomunikasi Celcom First.
“Syukur ditaja, tidak sabar untuk buat persembahan di Pahang, terima kasih kepada Celcom. (Saya sebelum ini) hantar cadangan kepada (Celcom) diiringi doa,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya.
Konsert itu akan berlangsung di empat buah negeri iaitu Pahang, Johor, Pulau Pinang dan berakhir di Selangor.
Ia akan bermula di Kuantan pada 23 Mei ini, diikuti Pasir Gudang pada 13 Jun seterusnya di Seberang Jaya pada 5 September dan berakhir di Shah Alam pada 7 November.
Sementara itu, M Nasir tidak keseorangan dalam pengembaraan di empat buah negeri ini, artis terkenal seperti Spider, Fynn Jamal dan Pita Hati adalah
antara penyanyi yang akan membuat persembahan pembukaan nanti.
Bagi melengkapkan susur galur sejarah kembara seni beliau, beberapa lagu popular sewaktu bersama kumpulan Kembara akan turut didendangkan nanti, atau mungkin beliau akan membuat kejutan lain.
Antara lagu yang akan dinyanyikan dalam konsert itu Hijab Kekasih, Sang Pencinta, Rajawali, Tanya Sama itu Hud-hud dan banyak lagi.
Peminat M. Nasir di Kuantan boleh mendapatkan tiket dengan harga RM65 hingga RM125 manakala di Pasir Gudang harganya RM75 hingga RM155.
Bagaimanapun, harga di Seberang Jaya dan Shah Alam masih belum ditetapkan dan akan diumumkan kemudian.
