Naib Presiden MIC, Datuk S Balakrishnan berkata Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam perlu menumpukan kepada usaha menangani peningkatan kes denggi sebagai menteri kesihatan, daripada didakwanya tergesa-gesa mahu menjadi presiden MIC.

Balakrishnan berkata demikian selepas Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel memberitahu bekas presiden Datuk Seri S Samy Vellu supaya berhenti campur tangan dalam urusan MIC, dalam episod terkini krisis kepimpinan MIC yang berlarutan.

"Sebagai menteri kesihatan, beliau masih tidak dapat menyelesaikan masalah denggi. Jumlah kes semakin meningkat setiap hari.

"Siapakah beliau untuk bercakap tentang kelemahan kepimpinan apabila beliau tidak dapat menangani perkara di kementeriannya?" kata Balakrishnan dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa bahawa Subramaniam juga tidak cemerlang dalam peranannya sebagai menteri sumber manusia sebelum pilihan raya umum ke-13, berdepan dengan masalah pembantu rumah asing dan gaji minimum.

"Kenapa Timbalan Presiden MIC Subramaniam begitu tergesa-gesa untuk menjadi presiden MIC?" soalnya.

Balakrishnan mendakwa bahawa dakwaan Subramaniam baru-baru ini bahawa kepimpinan dalam MIC lemah, hanya untuk melindungi kepentingan Samy Vellu.

Beliau berkata Palanivel harus dibenarkan untuk mengendalikan parti dan dihormati kerana enggan mengikuti cara Samy Vellu.

[Baca berita penuh/asal]