Utusan lebih telus dari yang lain, kata editor
Utusan Malaysia lebih telus daripada aspek pemilikan politik, kata editor kanan akhbar Umno itu Gamal Nasir Mohd Ali.
“Portal media lain sama ada secara langsung atau tidak langsung dikawal melalui seseorang, beberapa orang, NGO dan sebagainya,” katanya dalam forum berkaitan kewartawanan hari ini.
Acara itu diadakan sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Kuala Lumpur, yang jatuh pada 3 Mei.
Gamal berkata organisasi seperti Utusan mempunyai isu sendiri untuk diketengahkan bergantung kepada pembaca mereka.
Itu sebabnya, katanya lagi, harian itu terus menulis berhubung isu agama, bangsa dan politik berdasarkan kaca mata Melayu.
Tindakan itu sekali gus menjadikan Utusan sasaran kepada dakwaan perkauman.
Gamal berkata selagi parti politik berasas kaum wujud di Malaysia, politik akan terus dilihat berdasarkan garis kaum.

