Gempa di Nepal: 21 terkorban, lebih 300 cedera
Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan lebih 300 orang cedera apabila gempa bumi kuat pada 7.4 skala Richter menggegarkan Nepal hari ini.
"Bagaimanapun, kami sedang mengumpul lebih banyak maklumat dari seluruh negara dan kami akan dapat menentukan jumlah kematian dan kecederaan dalam gempa bumi hari ini (Selasa)," kata Timbalan Ketua Polis Nepal, Hemanta Pal, lapor Bernama .
Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan Nepal, gempa bumi itu berukuran 7.4 pada skala Richter.
Gempa bumi itu berpusat 150 kilometer ke timur Kathmandu. Sekurang-kurangnya tiga gempa susulan dengan kekuatan 5.6, 5.5 dan 6.2 pada skala Richter dilaporkan berlaku.
Penduduk bergegas keluar dari rumah masing-masing dan meluru ke kawasan tanah lapang untuk menyelamatkan diri.
Butir-butir mengenai kerosakan belum lagi dilaporkan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Nepal terus ditutup selama dua jam tetapi telah dibuka semula.
Pada 25 April lepas, gempa bumi yang kuat berukuran 7.9 skala Richter melanda dengan mengorbankan lebih 8,000 orang.
Lebih 650 gempa susulan telah dilaporkan sejak 25 April sehingga gempa bumi yang kuat pada hari ini, lapor Bernama lagi.
Gempa itu dilaporkan berpusat di kedudukan 68 kilometer di barat Namche Bazar, yang hampir dengan Gunung Everest.
Kawasan itu hampir dengan kem pengkalan Gunung Everest, yang ditutup selepas runtuhan salji akibat gempa 25 April lalu mengorbankan 18 orang pendaki.
Sementara itu, Al-Jazeera melaporkan empat orang terbunuh di Chautara, Nepal akibat gempa yang memusnahkan beberapa bangunan di situ.
Laman itu juga melaporkan, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 300 orang cedera di Lembah Kathmandu.
Polis mengeluarkan arahan kepada penduduk agar berada di tempat terbuka dan hanya menghantar pesanan melalui SMS dan tidak membuat panggilan untuk mengelakkan kesesakan talian.

