Ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menafikan bahawa parti itu mendalangi strategi kotor dalam kempen pemilihan PAS yang sedang berlangsung.

Katanya, pengerusi jawatankuasa pemilihan PAS, Asmuni Awi tidak sepatutnya mengaitkan Umno dengan masalah dalam kempen pemilihan parti Islam itu.

“Kita tidak minat (dengan pemilihan PAS). Kita lebih pentingkan hal Umno, lantaklah apa (PAS) nak jadi.

“(Umno) tidak perlu dalangi (PAS). Cakap pada Asmuni, jangan perasan, kita tak minat pun. Apa yang berlaku (dalam PAS) itu masalah dalaman mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menteri pelancongan itu juga berkata, PAS sememangnya suka menuding jari pada Umno apabila berlaku perselisihan dalam parti Islam itu.

“Apa saja salah, (akan dipersalahkan) pada Umno. Itu perangai orang PAS. Dia rasa apabila dia mewakili parti Islam dia tidak boleh buat salah langsung. Dia saja betul,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Asmuni bulan lalu yang tidak menolak kemungkinan bahawa kempen kotor itu mungkin didalangi orang luar yang ingin mengambil kesempatan.

Dua lagi anggota majlis tertinggi Umno sependapat dengan Nazri dan menegaskan bahawa “masalah PAS tidak ada kena mengena dengan Umno”.

'PAS maki hamun ahli sendiri'

Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed melihat bahawa masalah dalam PAS berpunca daripada kegagalan parti itu untuk menjalin hubungan silaturrahim di antara ahli partinya.

“Nampaknya pemimpin PAS suka menyalahkan orang lain dan tidak muhasabah melihat kelemahan kepimpinan sendiri.

“Ada pemimpin mereka yang melabelkan diri mereka sebagai ulama (tetapi) mereka memaki hamun golongan moderat dalam PAS,” katanya.

Seorang lagi ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata tuduhan PAS yang menyalahkan Umno itu adalah cara paling mudah untuk parti Islam itu menutup masalah dalaman mereka.

Sedangkan, Umno tidak seteruk seperti yang disangka PAS sehingga sanggup terlibat dengan kempen kotor itu, katanya.

Malah, Umno sendiri tidak pernah menuduh PAS mendalangi masalah dalam partinya, kata bekas MP Lembah Pantai itu.

“Bila (PAS) ada perpecahan dalaman, cara paling senang untuk tutup (isu perpecahan dalaman adalah dengan menuding jari pada) Umno.

“Kita ni bukan malaikat tapi kita tidak seteruk itu. Orang PAS bukan semua alim pun,” katanya yang meminta PAS agar tidak membuat tuduhan tanpa asas.

“Kami dalam Umno ada pemilihan tapi tidak pernah tuduh pihak lain masuk campur,” katanya.