NGO Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) mengecam tindakan pihak pentadbiran Universiti Islam Antabangsa Malaysia (UIA) yang menghentikan satu forum anjuran pemimpin pelajar kampus tersebut pada malam tadi.

Presiden MKM, Naqiuddin Nazrin berkata, tindakan penguatkuasa UIA yang merampas mikrofon ketika ucapan seorang MP di majlis itu juga merupakan satu usaha untuk “memperbodohkan” golongan siswa.

“Ini jelas satu tindakan yang bacul dan pengecut pihak pentadbiran UIAM menyekat perjalanan majlis ilmu yang dihadiri ramai mahasiswa.

“Campur tangan pihak atasan menghentikan forum itu juga jelas untuk terus memperbodoh dan menyekat mahasiswa daripada menerima ilmu dan maklumat,” kata Naquiddin dalam kenyataannya.

Dalam kejadian di UIA pada malam tadi, pasukan keselamatan kampus merampas mikrofon yang digunakan oleh MP Pandan, Rafizi Ramli yang sedang berucap dalam satu forum mengenai cukai barang dan perkhidmatan.

Pergelutan kecil turut berlaku ketika pasukan keselamatan bertindak ke atas naib presiden PKR itu.

Rafizi diundang berucap dalam majlis itu.

Selepas tindakan itu, mahasiswa mengebu pihak keselamatan dan cuba berhujah dengan mereka sebelum berlaku tolak menolak.

Penganjur, Majlis Perwakilan Mahasiswa UIA terpaksa mengalah untuk mengelakkan tindakan lebih keras dari pihak keselamatan dan menamatkan acara tersebut.

Sementara itu, kumpulan siswa pro-Mahasiswa (pro-M) berkata tindakan itu menjadi satu lagi tanda hitam dalam sejarah kebebasan akademik.

Seorang aktivis pro-M, Syazmee Sapian dalam kenyataannya berkata, selain forum di UIA, kampus Universiti Malaya juga membatalkan satu forum untuk membincangkan mengenai satu syarikat penerbitan buku.

“Jika sebelum ini hanya program mahasiswa sahaja yang disekat, tetapi semalam Forum Dubook anjuran Persatuan Kakitangan Universiti Malaya juga turut disekat.

Ini merupakan episod malang yang berlaku kepada universiti,” katanya.