Sebuah lori tangki LPG yang diparkir di sebuah kilang di Jalan Kapar, dekat Klang, meletup menyebabkan seorang pekerja asing warganegara Bangladesh terbunuh manakala seorang warga India melecur teruk.

Warga Bangladesh itu dikenal pasti sebagai Joj-miah, 32, manakala warga India dikenali sebagai Tage, 32, kata jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang hari ini.

Beliau memberitahu Bernama bahawa pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.45 pagi tadi mengenai kejadian itu.

  

"Joj-miah sedang melakukan kerja kimpalan ketika kejadian itu. Dia maut selepas terjatuh dari bahagian atas tangki dipercayai akibat letupan itu manakala rakannya melecur hampir 40 peratus," katanya.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

- Bernama