Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS sudah mula mula mengintai peluang mereka di Lenggeng walaupun kes muflis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu masih di peringkat rayuan.

Menyatakan kesediaan menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan MK Ibrahim Abdul Rahman ( bawah ) berharap pemimpin BN tidak menyokong usaha merayu keputusan itu.

“Saya mencabar para pemimpin Umno dan BN tidak menyokong hasrat Datuk Ishak yang ingin mengemukakan permohonan mengetepikan keputusan tersebut bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kekosongan kerusi DUN Lenggeng secepat yang mungkin.

“Kita tidak mahu rakyat khususnya di DUN Lenggeng terus diwakili oleh wakil rakyat yang diisytihar bankrap serta tiada integriti,” katanya kepada Malaysiakini .

Ishak, 64, semalam diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi, yang berkemungkinan membuka laluan kepada pilihan raya kecil.

Perintah mengisytiharkan Ishak muflis dibuat oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada 18 Mac dan Ishak dikatakan menerima perintah itu bulan lepas.

Menurut The Star , ahli politik itu gagal untuk menyelesaikan pinjaman daripada ahli perniagaan, Misran Sukadi.

Dalam pilihan raya umum ke-13 lalu, Ishak mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dan calon bebas Zulkifli Abdullah dengan majoriti 2,058 undi.

Ishak mendapat 7,170 undi, Zulkefly Mohamad Omar (5,112 undi) dan Zulkifli Abdullah (812 undi). Kawasan majoriti Melayu itu mempunyai 15,340 pengundi.

Lihat Komen
ADS