Tidak adil kritik pembangkang
Seperti yang selalu dinyatakan oleh penulis dan juga Naib Presiden PRM, Rustam A Sani, arena politik Malaysia ibarat padang bola yang tidak rata dan membukit. Ibaratkan Barisan Alternatif berlawan bola menentang Barisan Nasional dalam padang seperti ini.
Pintu gol BA di kaki bukit, sementara pintu gol BN di atas puncaknya.
Belum wisel ditiup, bola dengan sendirinya tergolek ke gawang BA. Pakatan pembangkang itu terpaksa bertungkus-lumus menghalang bola daripada menembusi pintu gol mereka, manakala BN bersenang-lenang sambil menunggu sedikit kesilapan oleh BA untuk memperolehi gol.
Dalam perlawanan seperti ini, jika seseorang pengadil mempamerkan sikap adil kepada kedua-dua pihak, ia masih dianggap berat sebelah.
Begitu juga jika senario ini diterjemahkan dalam realiti politik Malaysia. BN dan BA dari segi fizikalnya sama. Kedua-duanya adalah payung komponen parti-parti politik. Sepatutnya BA juga harus diberi peluang yang sama seperti mana yang dinikmati oleh BN.
BN mempunyai sekurang-kurangnya 12 akhbar harian pelbagai bahasa, lima stesen TV serta berbelas-belas saluran radio yang sedia menjawab kritikan dan menyerang musuh politik mereka setiap hari. BA hanya bergantung kepada Harakah dan Rocket yang cuma dibenarkan terbit 48 kali setahun.
Begitu juga jentera-jentera kerajaan yang selalu diperkosa oleh BN untuk kepentingan politik mereka. Belum lagi diambil kira akta-akta yang sedia memberi habuan jeriji besi kepada mereka yang tidak mahu memuji BN.
Semua ini, walaupun istilahnya disebut kezaliman, tetapi merupakan kelebihan bagi BN yang digunakan sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh politiknya. Dan ia menyebabkan sesiapa saja akan berteriak "tidak adil!" apabila menentang BN.
Penulis, pengarang atau pelukis ibarat pengadil dalam perlawanan yang serba tidak seimbang ini. Pengadil yang adil akan memberi " advantage " atau " handicapped " untuk memastikan keadilan kembali seimbang. Karyawan itu harus memberikan sokongan padu kepada BA untuk memastikan mereka memperolehi keadilaan yang menjadi hak mereka.
Jadi adalah tidak kena sekiranya penulis-penulis kritis seperti Fathi Aris Omar melalui malaysiakini contohnya, cuba menganggap bahawa dengan mengkritik kepincangan dalam KeADILan itu sama adilnya dengan mengkritik kezaliman BN.
Memang, kewartawanan yang bebas menuntut wartawan memberikan ruang yang seimbang kepada kedua-dua pihak yang berkonflik mengemukakan hujah masing-masing untuk dipertimbangkan oleh pembaca.
Gaya kewartawanan seperti ini dianggap beretika dan wajar bagi negara-negara yang mengamalkan kebebasan akhbar sepenuhnya. Joseph Pulitzer menekankan aspek ini dalam "deklarasi kewartawanannya" yang diterima pakai oleh wartawan-wartawan hari ini.
Tapi bagi Malaysia yang mengamalkan kebebasan akhbar ala purba, kaedah keseimbangan ini adalah berat sebelah. Jika Utusan Malaysia dan konco-konco medianya memerahkan otak dan segala upaya fizikal mereka ke arah mencari kelemahan dan keburukan KeADILan serta BA, apakah kita yang mengaku penegak keadilan juga harus bertindak seburuk itu?
Biarlah oportunis murahan dalam organisasi media itu membuat kerja-kerja memuji orang-orang zalim ini.
Pendedahan surat bekas Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Marina Yusof, serta beberapa rencana yang mengkritik KeADILan secara berturut-turut bererti secara tidak langsung membantu BN dan menambahkan beban ketidakadilan kepada BA.
Tujuan pendedahan ini, walaupun atas nama kebebasan akhbar, memberi bonus percuma kepada BN. Jika permainaan bola di atas bukit tadi kembali dijadikan contoh, apakah wajar jika seseorang pemain daripada pasukan BA yang tidak suka kepada pengurusnya, mengambil tindakan menendang bola ke pintu gol sendiri?
Tidakkah kita merasa bersalah, sekiranya dalam keghairahan mengkritik, kita turut memberi ilham kepada " Utusan and the gang " untuk menjalankan taktik kotor kegemaran mereka?
Memang diakui KeADILan juga mempunyai kelemahan tetapi apakah itu sudah cukup dijadikan alasan untuk kita melupakan rekod buruk BN?
Walaupun begitu bukan bermakna kita diajak untuk tidak mengkritik BA dan pemimpin-pemimpinnya. Juga bukan kita mempromosi budaya Umno yang melarang ahli-ahlinya daripada bercakap selain memuji pemimpin-pemimpinnya.
Mengkritik dan menegur adalah satu budaya sihat yang wajar dikembangkan. Kita berharap suatu saat semua orang diberi peluang mengkritik dan mengemukakan perbezaan pendapat. Media-media juga pada waktu itu diharap akan menjadi agen pemangkin kepada budaya ini.
Sedia dimaklumi, bahawa satu-satunya cara untuk memperolehi kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara di Malaysia ialah dengan berlaku pertukaran kerajaan.
Dalam konteks Malaysia, bagaimanakah sebarang pertukaran kerajaan dapat dilakukan? Siapakah yang dapat kita harapkan untuk menjadi alternatif kepada kerajaan yang ada? Jawapannya tentulah Barisan Alternatif.
Atas harapan ini, rakyat memberikan sokongan yang tidak pernah terduga kepada BA, khususnya dalam pilihan raya yang lalu. Dalam kesepaduan sokongan rakyat, tiba-tiba trend melaga-lagakan pemimpin sendiri sejak akhir-akhir ini menjadi agenda utama kita.
Ini tidak menjadi onar sekiranya musuh kita tidak mempunyai agenda yang sama. Tetapi sekiranya kita dan musuh bersatu sehingga akhirnya BA yang kita cintai ini kucar-kacir dan terkubur, apakah matlamat kita untuk meraih kebebasan akan tercapai?
ZUNAR merupakan kartunis Harakah dan juga aktivis reformasi yang pernah ditahan dan kini dibicarakan kerana terlibat dalam demonstrasi

