PAS membidas kerajaan Malaysia selaku pengerusi ASEAN yang lambat untuk menyelesaikan isu pelarian etnik Rohingya berbanding negara jiran Thailand yang akan mengadakan mesyuarat khas berhubung isu itu 29 Mei depan.

Menyifatkan sikap Malaysia sebagai "memalukan", Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar menggesa Najib lebih memandang serius krisis kemanusiaan yang kritikal melibatkan umat Islam itu dan penyelesaian konkrit dari anggota ASEAN diperlukan.

"Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sewajarnya bertindak segera sebadai Pengerusi ASEAN untuk mengadakan sidang tergempar dengan mengumpulkan kesemua ketua negara di Asia Tenggara.

"Ini untuk memberikan tekanan diplomasi yang tegas kepada pemerintah junta tentera Myanmar agar menghentikan kekejaman dan kezaliman kepada ummat Islam Rohingnya di negara tersebut," kata Mahfuz sambil menyatakan kekesalan dengan kerajaan Malaysia.

Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz berkata Malaysia wajar mencontohi Wilayah Acheh, yang turut membantu pelarian itu berdasarkan kemampuan mereka sekalipun berdepan kesusahan.

Malah, MP Pokok Sena itu berkata sebagai negara Islam contoh yang mengamalkan pendekatan kesederhanaan, adalah mustahil bagi kerajaan mengambil sikap berdiam diri terhadap masyarakat Islam Rohingya yang seagama dan seakidah dengan kita.

"Gerakan misi kemanusiaan menyelamatkan ribuan nyawa di tengah lautan itu perlulah dilancarkan segera oleh pihak kerajaan.

"Tidak guna sekiranya kita hanya mendabik dada sebagai pengerusi ASEAN namun, masih gagal untuk menyelesaikan isu yang berlaku di sempadan negara sendiri," katanya

Semalam, Najib berkata penyelesaian peringkat ASEAN menerusi jaringan negara anggotanya perlu diambil dalam menangani masalah pelarian etnik Rohingya sebelum ia menjadi satu malapetaka kemanusiaan yang lebih dashyat.

Katanya, sekalipun kerajaan Malaysia menghormati prinsip ASEAN bahawa tidak mencampuri urusan dalaman mana-mana negara rantau itu.

Nnamun, katanya, jika sesuatu masalah itu sudah merebak dan menjejaskan kepimpinan negara ASEAN yang lain maka jalan penyelesaian perlu dicari melalui forum ASEAN dan juga kerjasama pihak yang lain.

Menurutnya lagi, masalah itu turut menjadi kebimbangan pemimpin ASEAN termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon dan Perdana Menteri Australia Tony Abbott.