Mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad tidak perlu berdebat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan perdana menteri telahpun menjawab pelbagai isu dibangktikannya termasuk 1Malaysia Development (1MDB), semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata memandangkan Najib telah menjawab bahawa isu firma pelaburan negara 1MDB akan disiasat, maka Dr Mahathir perlu menunggu keputusan siasatan oleh Jabatan Audit Negara.

“Tak payahlah nak berdebat, Yang Amat Berhormat (perdana menteri) telah pun memberi jawapan dalam isu 1MDB. Kita sedang menunggu siasatan dan audit Jabatan Audit negara.

"Jadi kita tunggu lah hasil siasatan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementeriannya dan Berjaya Corporation Berhad di Putrajaya.  

Pada Sabtu lalu, Mahathir menyatakan secara terbuka kesediaannya berdebat dengan Najib bagi menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan oleh negarawan itu sebelum ini.

Ini termasuk isu jambatan bengkok, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Ditanya berapa lama untuk menyelesaikan masalah 1MDB, Khairy yang juga ketua Pemuda Umno berkata "tidak ada tempoh masa untuk menyelesaikan masalah berkenaan".

"Kita semua buat keputusan untuk selesaikan masalah ini tapi kita tidak bagi apa-apa tempoh masa, lebih cepat lebih bagus.

"Tapi saya rasa perbincangan (mengenai 1MDB) lebih kepada nak selesaikan masalah," katanya.