Malaysia selaku Pengerusi ASEAN digesa mengadakan mesyuarat tergempar bagi mencapai kata sepakat dalam kalangan negara ASEAN untuk menamatkan keganasan dan penindasan ke atas masyarakat Rohingya di Myanmar.

Menggesa demikian, anggota Dewan Negara Senator Datuk Boon Som Inong berkata, langkah segera perlu diambil demi menjaga nama baik negara-negara anggota ASEAN dan rantau ini yang terkenal sebagai zon aman, bebas dan berkecuali.

Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap pembunuhan dan penindasan terhadap kaum Rohingya yang dilapor dilakukan pemimpin agama Buddha di Myanmar.

"Sebagai pemimpin Masyarakat Siam dan penganut agama Buddha di negara ini, saya berasa bimbang penyebaran gambar-gambar mengenai kejadian berkenaan menerusi media sosial akan memberi gambaran salah mengenai agama Buddha dan penganutnya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kezaliman terhadap manusia seperti yang berlaku di Myanmar bukan daripada ajaran Buddha.

Sehubungan itu, beliau selaku pemimpin masyarakat Siam yang majoritinya beragama Buddha mengutuk keras tindakan tersebut.

"Saya berpendirian kerajaan Myanmar seharusnya bersikap lebih bertanggungjawab terhadap kejadian tidak berperikemanusiaan yang berlaku di negara berkenaan," katanya.

Beliau pada masa yang sama merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang telah mengambil keputusan untuk membantu ribuan pelarian Rohingya yang ke Malaysia baru-baru ini.

Kira-kira jam 1,400 pendatang Bangladesh dan Rohingya termasuk kanak-kanak dan wanita dilapor mendarat di Langkawi dengan bot pada Isnin lepas.

- Bernama