Rangkaian restoran Nando's memutuskan membuang pekerjanya susulan pengeluaran resit jualan yang menggunakan perkataan carutan terhadap pelanggannya Ahad lalu.

Gambar resit tertulis “cib** customer ”, itu tersebar dan dikongsi secara meluas di media sosial.

Perkataan “cib**” merupakan carutan dalam bahasa Cina Hokien.

Nando's berkata melihat perkara itu secara serius kerana ia mencetuskan kemarahan pelanggan.

Kejadian itu berlaku di restoran Nando's di IOI City Mall di Sepang Utara.

Dalam kenyataannya, restoran itu berkata telah bertemu dengan pelanggan yang menerima resit itu dan memohon maaf kepadanya.

Wanita tersebut turut menerima permohonan maaf Nando's, jelas rangkaian restoran itu.

"Kami berasa amat kesal dengan tingkah laku tidak sopan pekerja kami itu. Kami berasa amat kesal dan menghargai anda mengambil masa untuk memaklumkannya kepada kami.

"Kepada rakan Nando's, insiden ini mencetuskan kemarahan pelanggan di restoran dan kami amat memandang serius perkara seperti ini.

“Hari ini, pekerja berkenaan secara rasminya telah dipecat," kata Nando's dalam satu kenyataan.