Enam lelaki didakwa promosi keganasan
Enam lelaki hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan mempromosi perbuatan keganasan di negara ini.
Semua tertuduh itu dikaitkan dengan sebuah kumpulan yang merancang beberapa serangan termasuk pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.
Tertuduh terbabit ialah dua beradik peniaga baja - Mohd Anwar Azmi, 33, dan Mohd Nurkamal Azmi, 30; Mohd Hafifi Tarmizi, 25 (penjaga stor); Izwan Shameer Suzaimi, 25, (peniaga air); Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 22 (pekerja kedai tayar) dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan pakatan jenayah dan bersetuju untuk mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini, di No.2, lot 3917, Kg. Bistari, Sg. Michu, Bt 13, Hulu Langat di Kajang, antara 7 malam 24 April dan 1 pagi 25 April lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh yang memakai kemeja-T kelihatan tenang dan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad. Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin.
Tiada bantahan daripada peguam Norfazrin Ahmad yang mewakili adik-beradik Mohd Anwar dan Mohd Nurkamal manakala empat yang lain tidak diwakili peguam.
Mahkamah menerima permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula.
Pada 25 dan 26 April lalu keenam-enam tertuduh adalah antara 12 lelaki warga tempatan yang ditahan pihak polis kerana disyaki kumpulan pengganas IS.
Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 17 hingga 41 tahun ditahan di Hulu Langat dan Cheras dan dipercayai berkomplot melancarkan serangan ke atas sasaran
strategik dan berkepentingan kerajaan di sekitar Lembah Klang.
- Bernama

