Polis hari ini menangkap MP PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkaitan perhimpunan Kita Lawan pada 28 Mac, dan dilepaskan dengan jaminan polis selepas kenyataannya diambil.

Beliau merupakan yang ke-12 ditangkap berhubung perhimpunan tersebut, yang menyaksikan kira-kira 500 peserta menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan berarak ke arah KLCC di mana majlis perkahwinan anak perempuannya diadakan pada malam itu.

Dalam satu kenyataan, Sim berkata mereka hanya melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta perhimpunan Aman 2011.

Beliau berkata apa maknanya mempunyai perlembagaan dan Akta Perhimpunan Aman jika mereka ditangkap hanya kerana menyertai perhimpunan.

Yang lainnya yang ditangkap berhubung dengan perhimpunan 28 Mac itu termasuk MP PAS Shah Alam Khalid Samad; ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Sim berkata beliau dimaklumkan oleh pihak polis supaya hadir di Balai Polis Dang Wangi di mana beliau akan ditangkap dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis.

[Baca berita penuh/asal]