Kesan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) nampaknya bukan saja menjejaskan peniaga kecil malah turut memberi kesan kepada syarikat penerbitan.

Berita Publishing Sdn Bhd yang menjadi antara syarikat penerbitan paling lama di negara ini terpaksa memberhentikan pengeluaran majalah gara-gara GST, selain kecenderungan perniagaan secara umum.

Pengarah eksekutifnya, Juhaidi Yean Abdullah memberitahu KINIBIZ , sejak April ramai peniaga tidak menjual majalah kerana menaik taraf mesin juruwang bagi menyesuaikannya dengan pelaksanaan GST.

"Mereka (peniaga) diberi tempoh sehingga September - Oktober untuk menaik taraf mesin juruwang masing-masing dan majalah tidak diual serta dipulangkan (kepada penerbit). Ini tidak menguntungkan kami," katanya.

Sebelum ini sumber memberitahu KINIBIZ , kakitangan majalah terbitan Berita Publishing diberhentikan dan diberi pampasan kerana syarikat itu kemungkinan itu ditutup.

Bagaimanapun, pengarah eksekutif Berita Publishing, Juhaidi Yean Abdullah memberitahu Kinibiz bahawa syarikat tersebut tidak akan ditutup.

“Kami sudah berhenti menerbitkan majalah,” katanya melalui telefon.

Menurut Juhaidi, langkah itu dilakukan ekoran trend pasaran yang merosot dan juga disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas majalah.

Jelasnya, penjual tidak lagi menjual majalah di rak sejak April kerana menaiktaraf sistem masing-masing mengikut peraturan GST.

“Penjual diberi kelonggaran sehingga September-October untuk menaiktaraf mesin jualan. Dalam tempoh itu, majalah tidak dijual dan dipulangkan kembali. Ini tidak menguntungkan kami,” katanya.

Menurutnya lagi, Berita Publishing masih akan menjalankan perniagaan penerbitan secara kontrak dan bentuk penerbitan lain.

“Kita mungkin menceburi bidang lain dalam perniagaan ini. Kami melihat kepada perundingan, berdasarkan kepada kepakaran yang kami ada.

“Perkara utama bagi kami adalah memastikan kebajikan kakitangan kami. Sebahagian tugas kami adalah memastikan mereka mendapat pampasan setimpal dan pekerjaan yang tetap,” katanya.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan, Berita Publishing menanggung kerugian berjumlah RM781,357 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 dengan hasil berjumlah RM6.5 juta.

[Baca berita penuh]