Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Harga petrol di pam naik sebanyak 10 sen bagi RON95 kepada RM2.15 seliter dan 20 sen bagi RON97 menjadi RM2.55 seliter.

Kenaikan ini berlaku walau harga minyak mentah tong Brent menunjukkan trend penurunan bagi bulan Jun, berbanding Mei.

Harga jualan bagaimanapun naik kerana harga Brent setong hanya salah satu komponen yang menjadi perhitungan harga Mean of Platts Singapore (MOPS), yang digunakan untuk sistem apungan harga Malaysia.

Sistem apungan harga ini mula berkuatkuasa pada 1 Disember, 2014 di mana harga ini ditetapkan mengikut harga purata MOPS dan juga margin keuntungan untuk syarikat minyak dan penjual.

Seorang pengarah Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) Kelvin Tan menjelaskan, mekanisme harga di pam pasaran antarabangsa berbeza kerana berubah-ubah setiap hari.

“Harga di pam Malaysia diapungkan dengan lebih lembab, supaya harga semasa mencerminkan aras harga purata bagi bulan sebelumnya,” katanya kepada Kinibiz.

Ini bermakna, harga jualan di pam pada bulan Julai berdasarkan kepada harga purata bulan Jun, jelas Tan yang menambah, MOPS bukan hanya mengambil kira harga minyak mentah.

“Ia turut mengambil penapisan, logistik dan kos lain seperti yang ditunjukkan di pasaran,” katanya.

Katanya lagi, harga MOPS mungkin akan mengikut aliran harga minyak mentah tetapi tidak secara terus disebabkan komponen kos lain.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS