Akhbar Mingguan Malaysia hari ini sekali lagi mendakwa Malaysiakini sedang bekerjasama dengan pihak asing untuk menggugat "kerajaan pimpinan Islam".

Kolumnis akhbar itu Awang Selamat menyatakan, dia memang sudah lama tidak mempercayai portal berita Malaysiakini kerana "kredibilitinya rendah".

"Maka tidak mengejutkan jika portal itu agresif untuk terus menggugat kerajaan pimpinan Islam yang ada. Sama juga dengan Sarawak Report , yang Awang tahu apa muslihatnya. Bukankah ada anasir asing dan tangan ghaib di belakang mereka?" tulis pojok berkenaan.

Dalam tulisan bertajuk "Lagi dugaan Najib" itu Awang berkata, Malaysiakini mengambil kesempatan memburuk-burukkan kepimpinan negara selepas "gagal menjatuhkan kerajaan pada pilihan raya umum lalu".

Tulisan itu mengulas laporan dibuat Malaysiakini mengenai isu pengaliran dana 1MDB yang dilaporkkan media asing, Wall Street Journal (WSJ) sejak Jumaat lalu.

Seperti filem lucah

Tulis pojok itu: "Perdana Menteri, Najib Tun Razak diuji lagi dalam isu 1MDB. Kali ini tuduhan oleh Wall Street Journal (WSJ) kononnya dana hampir RM700 juta daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah dimasukkan ke akaun peribadinya.

"Seperti dakwaan terdahulu berkaitan 1MDB, tuduhan terbaharu ini juga tiada sebarang bukti konkrit setakat ini. Inilah dugaan sebagai pemimpin, yang mudah terdedah kepada apa sahaja serangan peribadi, fitnah, tohmahan dan disalahertikan."

Untuk makluman, jumlah yang dilaporkan oleh WSJ ialah hampir AS$700 juta.

Kata Awang, sudah ada pihak menangguh di air keruh dalam isu berkenaan, termasuk "portal pembangkang, Malaysiakini " yang dianggapnya mengagung-agungkan WSJ.

Penulis pojok itu juga mendakwa, semua komen pembaca yang negatif dalam portal Malaysiakini dimainkan "secara sensasi seperti menonton filem lucah" manakala reaksi positi pula, tuduhnya, disekat.

"Namun pada tahap ini, berilah keyakinan kepada Najib untuk membela diri serta membuktikan beliau di pihak yang benar serta menjadi mangsa tohmahan. Lebih-lebih lagi bagi umat Islam pada bulan Ramadan yang mulia ini, dituntut lebih banyak bersabar, tidak mudah percayakan spekulasi dan bersangka buruk selagi sesuatu dakwaan itu tidak dibuktikan kesahihannya," katanya.