Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SIS mohon batal fatwa MAIS didengar 12 Nov
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 2:37 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Mahkamah Tinggi akan mendengar pada 12 November permohonan Sisters in Islam (SIS) dan dua yang lain bagi semakan penghakiman untuk membatalkan keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norhasniah Abdul Razak menetapkan tarikh itu di dalam kamar semasa kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes.

Peguam Majdah Muda, yang mewakili MAIS, memberitahu media bahawa Hakim Datuk Asmabi Mohamad akan mendengar kes itu.

Pada 10 Disember tahun lepas, SIS dan pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar serta Datuk Mohd Zaid Ibrahim telah mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk permohonan semakan penghakiman.

Semasa membenarkan permohonan itu, Asmabi memutuskan bahawa permohonan ketiga-tiga pihak itu tidak remeh.

Dalam permohonan itu mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan kerajaan Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang mengatakan pertubuhan itu, dan mana-mana individu serta kumpulan yang berpegang kepada fahaman 'liberalisme dan pluralisme' sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka juga meminta suatu pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS dalam mengarahkan pengeluaran fatwa itu yang menyebabkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi menyekat laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam, sebagai bercanggah dengan Sekyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka antara lain memohon pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS itu ultra-vires Artikel 10, 11, 74, jadual kesembilan Senarai I dan II Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon satu pengisytiharan bahawa SIS yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat yang terhad dengan jaminan, tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.

- Bernama

Lihat Komen
ADS