Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KP DBKL dilantik Datuk Bandar baru KL
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 5:48 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, 59, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa 18 Julai ini, kata Menteri Wilayah

Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pelantikan Mhd Amin sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-11 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengikut Bahagian II Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Adnan berkata pelantikan ini adalah untuk tempoh dua tahun.

Kontrak perkhidmatan Datuk Bandar Kuala Lumpur sekarang Tan Sri Ahmad Phesal Talib tamat pada 17 Julai ini.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kerana sepanjang perkhidmatan Ahmad Phesal sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, pelbagai perkara dasar dan pelaksanaan di peringkat DBKL dapat dilaksanakan dengan berkesan dan cemerlang," kata Tengku Adnan.

"Tempoh selama 37 tahun pengalaman beliau di DBKL akan banyak membantu beliau untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai Datuk Bandar," kata Tengku Adnan mengulas pelantikan Mhd Amin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian Dalam Negeri Datuk Hasim Ismail, 58, dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang baru berkuat kuasa 1 Ogos, menggantikan Tan Sri Aseh Che Mat yang tamat tempoh kontraknya pada 31 Julai.

"Pelantikan Hasim menerajui Putrajaya diharap dapat meneruskan kecemerlangan yang dibawa Tan Sri Aseh sehingga menjadikan Putrajaya, bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ketika ini, malah dikenali di mata dunia menerusi pelbagai penganjuran acara berprestij dan bertaraf dunia.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Aseh yang telah membawa Putrajaya ke landasan yang tepat serta mewujudkan ikon tersendiri," kata Tengku Adnan.

Hasim yang berasal dari Melaka pernah menjawat pelbagai jawatan lain, antaranya Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Wilayah Persekutuan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS