Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA sambut baik tindakan beku akaun
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 6:41 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) hari ini menyambut baik tindakan pembekuan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam dakwaan penyaluran dana ke dalam akaun bank perdana menteri, dengan menyifatkan maklumat awal itu boleh membantu melegakan kegelisahan umum.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata dengan adanya maklumat itu, PERKASA percaya rakyat tidak akan membuat spekulasi sehingga siasatan pasukan petugas khas itu selesai.

"PERKASA juga menaruh keyakinan bahawa siasatan akan dibuat benar-benar secara tulus dan apa jua hasil siasatan akan diumumkan secara terperinci sepertimana format Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI).

"Ini akan membantu apa jua bentuk persepsi yang timbul hasil siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata pembangkang terutamanya DAP dan PKR yang disifatkan ghairah untuk meraih kepentingan politik melalui isu itu, juga wajar bersabar menunggu laporan siasatan.

"Tak ke mana gunung dikejar. PERKASA tetap dengan pendirian yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah, tidak kira siapa," katanya.

Pasukan Petugas Khas berkenaan dakwaan dana disalurkan ke dalam akaun bank perdana menteri, hari ini telah memerintahkan pembekuan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Tindakan itu susulan dakwaan kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

   

Tindakan pembekuan itu diumumkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam satu kenyataan bersama hari ini.

   

Mereka berkata pasukan itu semalam juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu siasatan.

 

Kenyataan itu, bagaimanapun tidak menyebut nama pemilik-pemilik akaun dan bank-bank yang terlibat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS