Tiga sekeluarga maut dalam satu kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 55.7, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata ketiga-tiga mangsa, yang menaiki motorsikal dikenali sebagai Muhammad Saddam Hussin Mohamed, 23, Lina Soleha Mohamed, 20, dan Nur Rabiatul Adawiyah Budi Norhazmi, 6.

Muhammad Saddam dan Lina Soleha merupakan adik-beradik manakala Nur Rabiatul Adawiyah pula anak saudara mereka.

Mohamad berkata pada kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, motosikal yang ditunggangi tiga mangsa itu dalam perjalanan balik dari Pasir Gudang ke Batu Pahat.

"Setibanya di tempat kejadian, motosikal yang dibawa Muhammad Saddam terbabas masuk ke lorong kanan dan dilanggar dua buah kereta. Kereta ketiga mengelak ke kiri jalan dan melanggar sebuah motosikal lain.

"Lori kontena yang berada di lorong kiri cuba mengelak tetapi hilang kawalan dan terbalik di bahu jalan sebelah kiri. Kemalangan terbabit mengakibatkan ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru.

Mohamad berkata ketika kejadian cuaca baik tetapi tempat kejadian gelap kerana ketiadaan lampu jalan.

Terdahulu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Negeri berkata pihaknya yang mendapat panggilan pada pukul 5.29 pagi, menamatkan operasi menyelamat sejam selepas itu dengan enam anggota bomba dan satu jentera yang dikejarkan dari  Balai Bomba dan Penyelamat Renggam.

- Bernama