Beri kepercayaan dan peluang kepada pasukan petugas khas berhubung dakwaan penyaluran dana ke dalam akaun perdana menteri menjalankan tugas, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Katanya beliau yakin pasukan itu menjalankan siasatan sedalam mungkin dengan adil tanpa memberi keistimewaan kepada mana-mana pihak walaupun Datuk Seri Najib Tun turut dikaitkan dengan kes itu, lapor Bernama.

"Daripada apa yang saya lihat mereka sangat proaktif, mereka sudah pergi ke pejabat 1MDB dan mengambil dokumen berkaitan, kita perlu mempunyai keyakinan terhadap institusi yang terlibat.

"Reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa dipertaruhkan di sini dan atas sebab itu saya yakin pasukan akan mengeluarkan laporan yang boleh dipercayai," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas melancarkan Youth Trailblazers Challenge, di Putrajaya hari ini.

Ketua Pemuda Umno itu berkata demikian ketika mengulas kritikan terhadap siasatan yang dijalankan oleh pasukan itu.

Pasukan itu terdiri daripada Pejabat Peguam Negara, Bank Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia bertanggungjawab menyiasat dakwaan media antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) bahawa  wujud penyaluran dana berkaitan 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.