Ahmad Farid meninggal dunia
Bekas wartawan Ahmad Farid Jamaluddin meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara awal hari ini kerana kanser paru-paru.
Bekas wartawan Ahmad Farid Jamaluddin meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara awal hari ini kerana kanser paru-paru.
Isterinya Rokiah Abdul Rahim, 39, berkata Ahmad Farid yang dimasukkan ke hospital pakar itu sejak tiga minggu lepas, meninggal dunia pada 1.10 pagi setelah mengadu sukar bernafas.
Menurut Bernama , Rokiah dan rakan kongsinya dalam firma perunding Media Works Production, Alaster Campbell berada di sisinya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan akhbar The Star telah melancarkan tabung minggu lepas untuk mengumpul wang bagi mengurangkan beban kewangan beliau dan keluarga bagi membiayai kos rawatan.
Ahmad Farid, 49, yang mempunyai dua orang anak iaitu Faridatul Nani, 23 dan Noraishah, 7, menghidapi kanser paru-paru sejak setahun lepas.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Kota Damansara dan akan disembahyangkan di Surau Kota Damansara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku, Petaling Jaya, sebelum Zohor.
Allahyarham Ahmad Farid memulakan kerjaya sebagai wartawan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1983 dan kemudian menyertai akhbar The Star pada 1991.

