Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPDNKK lapor polis akaun Facebook palsu
Diterbitkan:  Jul 14, 2015 6:18 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan kewujudan akaun Facebook palsu menyerupai akaun rasminya.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan laporan itu dibuat oleh Ketua Komunikasi Korporat KPDNKK, Akhtar Sahari, bagi memastikan siasatan dijalankan dan menyekat laman terbabit daripada terus menyebarkan maklumat palsu.

"Kementerian amat memandang serius hal ini kerana ia boleh memburukkan nama baik kementerian sekali gus mengelirukan orang ramai," kata kenyataan itu.

Menurut KPDNKK akaun palsu itu dipercayai diwujudkan bermula semalam dan sehingga hari ini telah mencecah 2,000 'like' daripada pengguna media sosial.

Katanya akaun palsu itu dibuat hampir menyerupai akaun rasmi KPDNKK dan pengendalinya dilihat aktif memuat naik status serta aktiviti hampir setiap jam seolah-olah ia dimuat naik oleh pengendali laman Facebook rasmi kementerian.

Laman rasmi KPDNKK boleh dilayari menerusi www.facebook.com/myKPDNKK.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS