Rakan tertuduh 'terkejut' akibat insiden Low Yat
Lelaki yang didakwa rakan kepada pemuda yang dituduh mencuri telefon bimbit, yang mencetuskan kekecohan di Plaza Low Yat, terkejut bagaimana insiden itu menjadi panas.
Perkara tersebut didedahkan oleh peguam Khairul Azam Abdul Aziz (gambar).
Suspek yang berusia awal 20-an, adalah antara tujuh orang yang didakwa terlibat dalam pergaduhan dengan pekerja kiosk telefon bimbit di pusat membeli-belah itu.
"Tidak, mereka tak mewakili mana mana organisasi. Bila saya bertanya tentang insiden itu, dia terkejut.
"Mereka orang muda yang kadang-kadang buat kesilapan. Mereka tak sangka perkara itu boleh jadi isu perkauman yg besar," kata Khairul Azam.
Peguam itu berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Shahrul Anwar Abdul Aziz, 22, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini atas tuduhan mencuri.
Individu yang didakwa rakan Shahrul Anwar itu ditahan bersama dengan Shahrul Anwar pada hari Sabtu.
Bagaimanapun dia dibebaskan dan didakwa kemudiannya mengajak enam lagi rakannya untuk membalas dendam.
Kumpulan itu pergi semula ke Plaza Low Yat beberapa jam kemudian dan menyerang pekerja dan menyebabkan kerosakan pada kaunter telefon bimbit itu

