Aliran trafik arah utara di Lebuhraya Utara-Selatan di Juru sesak berikutan kemalangan di KM 141 dari Juru ke Sungai Dua yang membabitkan sebuah bas ekspres dan kereta.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 9.30 malam tadi tetapi mengakibatkan pergerakan trafik perlahan.

"Selain itu, pergerakan trafik dari arah Slim River ke Sungkai dan Terowong Menora ke Sungai Perak juga perlahan berikutan jumlah kenderaan yang semakin meningkat berikutan ramai mulai pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata, keadaan berbeza di laluan ke selatan tanah air apabila trafik dilaporkan masih lancar.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu dari Lebuhraya Pantai Timur masih sesak setakat jam 9.30 malam ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman twitter di

www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

- Bernama