IGP: Penerbit The Edge telah disoal siasat
Polis telah merakamkan kenyataan penerbit The Edge Ho Kay Tat bagi membantu siasatan berhubung artikel yang diterbitkan oleh harian kewangan itu berkaitan 1MDB.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakat memberitahu Malaysiakini bahawa Ho disoal siasat petang ini di ibu pejabat polis di Bukit Aman.
"Kami telah merekodkan percakapannya dan penyiasatan dilakukan bawa seksyen 124 Kanun Keseksaan," katanya.
Seksyen 124 berkaitan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.
Menjawab soalan, Khalid berkata polis tidak akan mendapatkan perintah reman terhadap Ho.
Beliau juga mendedahkan pihak polis akan merekodkan kenyataan daripada pemilik The Edge Media Group Tong Kooi Ong.
Ditanya bila ia akan dilakukan, Khalid menjawab: "tak lama lagi".
Selasa lepas, The Edge menyerahkan dokumen, e-mel bercetak dan cakera keras yang dimilikinya mengenai 1MDB kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Sehari sebelum itu, The Edge Financial Daily menerbitkan artikel empat halaman yang memfokus kepada usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International.

