Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Haron: Hubungan PAS dan PKR putus sekiranya...
Diterbitkan:  Jul 26, 2015 2:00 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din mengingatkan bahawa hubungan PAS dengan PKR terputus sekiranya rakan sekutunya itu menyertai gabungan pembangkang yang baru bersama DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Menurutnya lagi, kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemgumuman pembentukan muafakat pembangkang yang baru "menggambarkan seolah-olah parti itu ingin memutuskan hubungan dengan PAS", lapor Mingguan Malaysia hari ini.

Laporan akhbar itu juga menyebut, Haron berkata parti Islam itu tidak akan membantah sekiranya penubuhan pakatan pembangkang yang baru menjadi kenyataan.

"Dengan keputusan itu maka akan terputuslah hubungan antara kedua-dua parti dan masing-masing bakal meneroka jalan sendiri selepas terbubarnya pakatan pembangkang.

"Kalau mereka hendak menubuhkan parti politik baru, saya ucapkan selamat maju jaya," katanya seperti dilapor akhbar mingguan itu.

Minggu lalu, dalam perutusannya, Anwar mengumumkan usaha mewujudkan pembentukan muafakat baru progresif yang merangkumi semua kumpulan progresif, termasuk NGO gabungan BERSIH, Abim, Ikram dan Gerakan Harapan Baru.

Sementara tokoh parlimen DAP Lim Kit Siang juga berkata, wakil daripada parti pembangkang - kecuali PAS - sudah memulakan rundingan bagi membentuk gabungan menggantikan Pakatan Rakyat ekoran PAS membuat keputusan memutuskan kerjasama politik dengan DAP.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS mengambil sikap 'tunggu dan lihat' berhubung cadangan penubuhan pakatan baru pembangkang yang akan tubuhkan tidak lama lagi.

Dalam laporan itu juga, Haron menjelaskan pakatan pembangkang sebenarnya mulai retak sejak DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menegaskan akan terus berjuang menegakkan Islam walau terdapat ahlinya menubuhkan kumpulan serpihan GHB.

Haron, dalam laporan itu menyebut, PAS pernah berdepan dengan situasi demikian selepas terdapat kumpulan serpihan dalam parti menubuhkan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) dan parti Hizbul Muslimin Maaysia (Hamim).

"Semoga GHB tidak tinggal harapan sahaja dan masa akan menentukan. Jika umur kita panjang, kita akan melihat apa yang berlaku seterusnya," katanya dipetik.

Lihat Komen
ADS