'Gantung permit bukan untuk perlahan siasatan 1MDB'
Tindakan menggantung permit penerbitan The Edge selama tiga bulan, bermula 27 Julai, bukan bertujuan memperlahan penyiasatan kerajaan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Malah, kata pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional itu, penyiasatan terhadap 1MDB dan semua isu berkaitannya tidak dihentikan semata-mata kerana kerajaan menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.
Beliau berkata siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara, kini semakin giat dijalankan.
Katanya, kerajaan menggantung penerbitan The Edge kerana terdapat kemungkinan besar kandungan laporan mereka adalah tidak sahih.
"Sekiranya kemungkinan ini ternyata benar, maka kesannya terhadap kerajaan dan kestabilan ekonomi akibat pelaporan secara tidak bertanggungjawab penerbitan itu tidak boleh dipandang ringan," kata Anggota Parlimen Kota Belud itu dalam kenyataan panjang lebar melalui Facebook rasmi beliau hari ini.
Pada Jumaat, ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim memberi tiga sebab tindakan itu diambil, termasuk tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitan itu menimbulkan persoalan dan persepsi negatif masyarakat terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.
Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata sementara menunggu hasil siasatan dikeluarkan, pilihan terbaik bagi kerajaan ialah menggantung sementara penerbitan The Edge.
"Membiarkan mereka terus menerbitkan sesuatu yang serius tanpa mempunyai kepastian penuh tentang kesahihan data yang digunakan, adalah langkah yang tidak betul," katanya.
Beliau berkata langkah yang diambil itu adalah tepat kerana kerajaan bertanggungjawab melindungi negara dan rakyat daripada ditimpa kacau-bilau politik dan ketidakstabilan ekonomi.
Kata beliau, masa yang secukupnya juga perlu diberi terhadap siasatan itu untuk mencari kebenaran.
"Kenapakah kita tidak mahu memberi kepercayaan kepada mereka yang menjalankan penyiasatan rasmi untuk menunaikan tugas mereka, tetapi sebaliknya mempercayai segala yang dikatakan oleh The Edge, walaupun The Edge telah terbukti terlibat dengan skandal, yang didakwa bekas pekerja PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, iaitu untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia?
"Bayangkanlah, sekiranya perkara itu benar! Akibatnya tidak dapat dibayangkan!" kata Abdul Rahman.
Menurut beliau, 1MDB telah cuba memberi penjelasan tentang tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, tetapi tiada siapa mahu mendengarnya dan malah, dituduh pula tidak mendedahkan semua fakta atau lebih teruk lagi, dituduh mereka-rekakan cerita.
Akhirnya, penjelasan 1MDB itu dikutuk kerana dianggap sebagai suatu pembohongan dan sengaja direka-reka, kata beliau.
Oleh itu, kata beliau, kerajaan mengambil keputusan membentuk PAC, yang anggotanya termasuk beberapa anggota Parlimen yang bersikap kritikal daripada pihak kerajaan dan pembangkang, untuk membolehkan 1MDB menjawab semua dakwaan yang dibuat terhadapnya.
Pendengaran PAC mengenai 1MDB akan diadakan bulan depan.
Abdul Rahman berkata: "Hanya untuk rekod, tidak ada perdana menteri sebelum ini yang berani berbuat seperti itu apabila berdepan dengan tuduhan serius"
-Bernama

