Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Britain David Cameron di pusat pentadbiran negara hari ini, sempena lawatan kerja sehari beliau ke Malaysia.

Najib yang menyambut Cameron di Dataran Perdana pada pukul 4.45 petang, bersalaman dengan rakan sejawatannya dan membawa beliau melakukan lawatan ringkas di sekitar pejabatnya. 

Kedua-dua pemimpin kemudian beredar ke pejabat Najib dan Cameron menandatangani buku pelawat selepas kedua-dua mereka mengadakan pertemuan empat mata selama 30 minit.

Kedua-dua perdana menteri kemudiannya mengadakan mesyuarat bersama delegasi kedua-dua negara selama 30 minit.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

United Kingdom pula diwakili Setiausaha Negara bagi Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran Sajid Javid; Menteri Negara bagi Perdagangan dan Pelaburan, Lord Francis Maude; Menteri Negara bagi Perolehan Pertahanan, Philip Dunne; Utusan Khas ASEAN Richard Graham dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Victoria Marguerite Treadell.  

Perdana Menteri Britain itu dalam rangka lawatan kerja sehari ke Malaysia sebagai sebahagian daripada lawatannya ke empat negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam dan Malaysia bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan United Kingdom.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam berkata lawatan Cameron memperlihatkan hubungan rapat dan mesra antara Malaysia dan United Kingdom.
   
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala termasuk bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pertahanan serta kerjasama dalam rangka kerja Komanwel dan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Cameron ialah Perdana Menteri Britain pertama yang melawat Malaysia dalam dua penggal berturut-turut. Lawatan pertamanya pada April 2012.

Menurut laman sesawang www.gov.uk, perdana menteri Britain itu diiringi 31 wakil perniagaan dari setiap daerah di negara itu dalam lawatannya ke Asia Tenggara kali ini.

- Bernama