Kerajaan PAS Terengganu akan menilai reaksi selanjutnya daripada kerajaan pusat sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung penilaian semula royalti minyak sebanyak lima peratus.

"Kita akan melihat perkembangan di pihak sana (kerajaan pusat)" kata Exco Ekonomi, Pembangunan, Petroleum, Industri dan Sumber Manusia, Mustaffa Ali kepada malaysiakini pagi, berhubung penilaian semula kadar royalti Petronas kepada negeri itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan kenyataannya semalam bahawa perjanjian mengenai kadar royalti minyak telah dibuat secara bertulis.

Semalam Mustaffa mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang berhasrat mengkaji semula pemberian royalti dan menyifatkan langkah itu bermotif politik. Kata pemimpin PAS itu, perjanjian bertulis antara kerajaan negeri dengan Petronas telah termaktub sejak 1970-an lagi.

Dalam perjanjian tersebut syarikat petroleum nasional itu bersetuju memberikan kadar royalti sebanyak lima peratus sebagai pampasan, katanya.

Sementara itu, penasihat undang-undang PAS, Wan Mutalib Embong menyelar cadangan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Petronas sekiranya meneruskan pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu.

"(Shahidan) perlu mempunyai asas yang kukuh, kata-kata sahaja tidak berguna," katanya berhubung cadangan menteri besar itu seperti dilaporkan dalam akhbar hari ini.

"Jangan campur-adukkan politik dalam sistem pentadbiran undang-undang," kata Wan Mutalib lagi.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan Shahidan berkata Petronas sepatutnya menyerahkan semua royalti minyak kepada kerajaan pusat untuk diagih-agihkan kepada semua negeri.

Exco kerajaan tempatan Terengganu itu turut mempertikaikan kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang mendakwa negeri itu tidak mempunyai sebarang perjanjian mengenai royalti minyak.

Wan Mokhtar dilaporkan berkata, pemberian royalti dimeterai melalui satu perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh beliau sebagai mewakili kerajaan negeri dan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Petronas ketika itu.

"Sejak 1978 kerajaan Terenganu menerima royalti minyak daripada Petronas, tidak munasabah hanya sekadar perjanjian persefahaman, mesti ada perjanjian bertulis," kara Wan Mutalib.

Ahli Jawatankuasa PAS, Dr. Mohamad Hatta Ramli berkata kerajaan pusat tidak harus sangsi terhadap pentadbiran kerajaan Terengganu. .

"Sekiranya benar berlaku penyelewengan, sila buat laporan dan jalankan siasatan," cabar Dr. Hatta lagi.

Negeri itu akan menerima royalti sebanyak RM810 juta ekoran kenaikan harga peroleum di pasaran antarabangsa.