Sebanyak 71,001 kes demam denggi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Isnin lepas berbanding hanya 55,237 kes dalam tempoh sama tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata 192 kematian akibat demam denggi dicatat dalam tempoh itu berbanding 104 dalam tempoh sama tahun lepas.

Selangor adalah negeri yang mencatat jumlah pesakit denggi paling tinggi dengan 40,058 kes, diikuti Johor (7,170 kes) dan Perak (6,545 kes), katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang serta Gotong-Royong Perdana Satu Jam Menghapus Aedes peringkat Barat Daya di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bahang di Teluk Bahang.

Beliau berkata kes demam denggi di Pulau Pinang turut menunjukkan peningkatan ketara apabila 3,116 kes dilaporkan dalam tempoh itu tahun ini berbanding hanya 1,048 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Dr Hilmi berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk memerangi nyamuk Aedes dengan melakukan pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong membersihkan kawasan pembiakan nyamuk dan semburan kabus.

Bagaimanapun, sikap segelintir masyarakat yang enggan bekerjasama termasuk tidak membenarkan semburan kabus dilakukan di kediaman mereka menyukarkan usaha kerajaan menangani masalah demam denggi, katanya.

Beliau berkata kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak terutama orang ramai dalam memerangi demam denggi.

- Bernama