NGO hantar memo tekan BMF pada Switzerland
Sebuah NGO Pro-BN Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menghantar memorandum kepada kedutaan Switzerland untuk mendesak kerajaan Switzerland menghentikan bantuan dana kepada Bruno Manser Fund (BMF).
Pengerusi PMSP Ramesh Rao berkata, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Switzerland Rolf Ott yang menerima memorandum itu berjanji pihak Switzerland akan menjalankan siasatan ke atas BMF.
"Dia (Rolf Ott) kata akan siasat BMF," kata Ramesh Rao kepada wartawan di luar kedutaan Switzerland.
Ramesh berkata, pegawai kedutaan Switzerland itu memberitahu, kedutaan Switzerland sebelum ini tidak pernah menerima sebarang memorandum atau aduan daripada mana-mana pihak terhadap BMF.
Ramesh berkata, mengikut visi yang terpapar di laman web BMF, tujuan pertubuhan BMF adalah untuk mengawal isu persekitaran terutama kegiatan pembalakan.
Namun katanya, BMF telah terpesong daripada visi awal mereka dengan campur tangan dalam politik Malaysia.
"Mereka sepatutnya menjaga persekitaran, menjaga kayu-kayu balak, bukan menjaga politik Malaysia.
"Saya juga memberitahu kerajaan Switzerland agar menasihati BMF buatlah apa yang dijanjikan.
“Dana mereka diminta untuk persekitaran, jadi buatlah untuk persekitaran sahaja, jangan masuk campur hal politik negara orang lain," katanya.
Singapura sasaran baru S'wak Report?
Sementara itu, Ramesh turut mencabar Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menyerah diri kepada kerajaan Malaysia untuk membuktikan kebenarannya.
"Kalau betul nak tegak keadilan, saya cabar Clare datang ke Malaysia, tunjukkan dirimu bersih dan apa kamu terbitkan adalah benar. Jangan berselindung di UK sebagai pondan," katanya.
Beliau juga berkata mendapat maklumat bahawa Clare akan menjadikan Singapura kepada sasaran seterusnya.
“Ini saya diberitahu oleh orang-orang Sarawak Report sendiri.
“Seterusnya (serangan Clare) ke China, mereka akan buat sesuatu sebab di Hong Kong hari itu ada satu perhimpunan, saya diberitahu Clare ada terlibat," dakwa Ramesh.
Dakwa ahli politik Malaysia dipantau
Ramesh turut mendakwa Clare mengupah syarikat penyiasat persendirian di Malaysia untuk memantau pergerakan ahli politik di Malaysia termasuklah menteri-menteri dan orang kenamaan (VIP).
"Saya tak tahu kenapa dia nak pantau, mungkin dia nak tahu berapa duit dia orang ada, mungkin dia nak ugut mereka.
"Ada VIP menghubungi saya katakan orang Clare pantau mereka sehingga mereka nak keluar rumah pun takut," dakwanya lagi.

