Bersatu demi kebebasan media
Lebih 300 orang berkumpul di Kuala Lumpur hari ini untuk memprotes penggantungan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily ekoran laporannya mengenai skandal 1MDB.
Penunjuk perasaan berkumpul di Pasar Seni sebelum berjalan ke bangunan Majlis Peguam Malaysia yang terletak kira-kira 250 meter antara satu sama lain.
Sambil membawa plakad, mereka melaungkan pelbagai slogan menuntut kebebasan media.
Protes hari ini disertai petugas media, aktivis dan orang awam.
Ia juga mendapat sokongan daripada pelbagai parti politi.
Salah seorang daripada mereka ialah bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah, yang hadir menunjukkan kebersamaan dengan media.
Tokoh lain yang dilihat termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Exco Selangor, Elizabeth Wong dan pemimpin Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan.
Jurucakap Coalition for Press Freedom, Boo Su-Lyn berkata sebagai wartawan dia marah kerana The Edge digantung apabila laporan mereka dianggap membawa mudarat kepada kerajaan.
Berarak ke bangunan Majlis Peguam
"Ia satu alasan bodoh untuk menggantung penerbitan akhbar, kerana tugas wartawan bukan untuk membantu rakyat. Tugas kami adalah melaporkan fakta," katanya.
Memetik kata-kata George Orwell, Boo berkata, kewartawanan bermaksud melaporkan apa yang orang lain tidak mahu laporkan.
Selain daripada itu, kata Boo, ia adalah praktik perhubungan awam.
Bemula kira-kira jam 10 pagi, penunjuk perasaan berjalan ke Medan Pasar yang terletak kira-kira 250 meter dari Bangunan Majlis Peguam Malaysia.
Perarakan kemudian bermula kira-kira jam 11.15 pagi.
Sementara itu, hampir 10 orang anggota polis dilihat mengawasi keadaan dan lalu lintas sekali gus mengarah kumpulan tersebut mengambil jalan alternaif untuk mengelak melalui gerai di luar Pasar Seni.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.