Tajuddin: Kita tahu tapi tak tanya
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menguruskan dana parti.
Beliau berkata, walaupun wang tersebut dimasukkan ke akaun persendirian Najib, namun ahli parlimen Pekan itu diberi kepercayaan untuk memegang amanah dana politik parti.
"Kita dah bagi amanah pada presiden parti untuk memegang dana politik parti. Sebab parti perlu pembiayaan.
"Kita tahu bahawa ada tabung Umno dan ada juga akaun ini (merujuk kepada akaun persendirian Najib), iaitu akaun perbelanjaan operasi.
"Ada tabung yang dipegang atas nama pemimpin seperti (nama) presiden atau pengerusi perhubungan negeri," katanya kepada media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanit Umno Ampang hari ini.
Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pemimpin Umno memaklumi kewujudan akaun berkenaan dan sumbangan diterima daripada penderma.
"Tetapi berapa banyak (dana diperolehi) kita tak tanya. Kita percaya pada pemimpin kita," katanya.
Macam selak kain
Selain itu Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut berkata, walaupun akaun untuk dana politik parti itu dinamakan atas nama Najib, namun ia bukan untuk kegunaan peribadi.
Malah, katanya, semua ahli Majlis Tertinggi Umno juga mengetahui tentang kewujudan akaun pemegang amanah tersebut.
Bagaimanapun, jelas Tajuddin, pihaknya tidak mengetahui tentang butiran lanjut mengenai akaun tersebut.
"Dia (Najib) ialah pemegang amanah yang dibenarkan dalam perlembagaan parti. Perdana menteri sebagai presiden parti adalah pemegang amanah. Tiada persoalan kenapa mesti (dimasukan) dalam akaun peribadi dia.
"Akaun peribadi itu ialah akaun amanah, bukan akaun peribadi untuk diri dia sendiri.
"Kita tahu dia ada akaun pemegang amanah tersebut, tetapi kita tidak tanya apa nombor akaunnya, dengan bank mana. Tidaklah begitu," katanya lagi.
Ditanya sama ada ahli Majlis Tertinggi Umno tahu ke mana dana itu disalurkan, Tajuddin berkata ia merupakan rahsia parti.
"Itu rahsia parti. Semua parti PKR, DAP, PAS tahu apa mereka belanjakan untuk parti mereka. Itu rahsia mereka.
"Kalau beritahu semua maklumat, kita macam selak kain kitalah," katanya lagi.

