SPRM hargai PDRM, sokongan rakyat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangguhkan sementara siasatan melibatkan pegawai agensi pencegahan rasuah itu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Mustafar Ali berkata, keputusan PDRM membantu mengatasi suasana tidak senang yang wujud sekarang.
"SPRM memahami tugas dan tanggungjawab PDRM dan begitu juga sebaliknya.
"SPRM ingin jelaskan bahawa suruhanjaya ini komited untuk menjalankan tugas membanteras jenayah rasuah secara bebas, telus dan profesional," kata beliau dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Berdasarkan situasi semasa, Mustafar berkata, SPRM meminta kepada semua pihak agar tidak menyampai dan menyebar luas maklumat-maklumat yang tidak sahih serta andaian negatif yang boleh mengelirukan dan malah boleh menimbulkan keresahan rakyat.
Malam tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan pihaknya akan menangguhkan siasatan ke atas pegawai SPRM dalam siasatan kebocoran maklumat kes berprofil sangat tinggi itu.
Jangan berkumul di SPRM
Kenyataan sama menjelaskan isu cuti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Mustafar berkata, bosnya itu telah selamat menjalani pembedahan Jumaat lalu di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
"Ketika menziarahi beliau, saya dapati beliau masih mendapatkan rawatan dan sedang beransur pulih.
"Pakar Perubatan telah menasihati beliau supaya berehat secukupnya sebelum kembali bertugas," kata Mustafar.
Sementara itu, SPRM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pemimpi kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat yang memberikan sokongan moral kepada mereka, sama ada secara langsung atau tidak.
Bagaimanapun, Mustafar berharap pihak yang mahu berkumpul di premis agensi itu bagi menzahirkan sokongan kepada pegawai SPRM tidak meneruskan hasrat berkenaan.
"Ini kerana kita bimbang ia akan mewujudkan suasana tidak selesa kepada orang ramai yang berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan memandangkan sebahagian besar pejabat SPRM terletak dalam kompleks atau bangunan kerajaan Persekutuan," jelas beliau.

