Muhyiddin nafi sekongkol dengan DAP, PKR
Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau bersekongkol dengan pemimpin pembangkang untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Kata Muhyiddin, walaupun perkara itu sudah dijelaskan pembangkang, beliau sekali lagi mahu menegaskan bahawa dakwaan berkenaan tidak benar.
Semalam Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tampil menjelaskan mereka tidak berbincang dengan Muhyiddin bagi menggerakkan usul tidak percaya terhadap Najib di parlimen.
"Kedua-dua mereka sudah menafikannya. Jadi saya tak payah menafikannya (lagi)," katanya ketika merasmikan persidangan tahunan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara hari ini.
Malaysiakini dilarang memasuki dewan persidangan dan dimaklumkan pada awalnya, tiada jemputan dibuat untuk portal berita atas talian.
Kemudian seorang wartawan lain dibenarkan mengikuti persidangan itu namun Malaysiakini tetap dihalang.
Alasan diberi - tiada kekosongan tempat duduk dan semua petugas media, termasuk jurugambar, dilarang berdiri semasa Muhyiddin berucap.

