Polis hari ini berkata, dengan sasaran 100,000 peserta, perhimpunan BERSIH 4 lebih sesuai diadakan di Stadium Bukit Jalil.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Dataran Merdeka dan Padang Merbok tidak sesuai digunakan mereka memandangkan ia disiapkan untuk sambutan Hari Merdeka.

"Saban tahun kita menyambut merdeka di situ, kenapa beria-ria nak buat di situ pada 29 dan 30 Ogos?

"Tak ada tempat lain, nak di situ juga. Macam Malaysia ini tak ada tempat lain.

"Mereka besar khabarnya 100,000 (orang) akan datang, jadi Stadium Bukit Jalil yang paling baik untuk menempatkan 100,000 orang.

"Takkan nak letakkan 100,000 orang di Padang Merdeka itu?" kata Khalid dalam satu sidang media di Bukit Aman hari ini.

Khalid berharap penganjur BERSIH lebih rasional dan praktikal dalam menentukan keputusan pemilihan tempat untuk himpunan.

'Jangan jatuhkan kerajaan'

Khalid turut memberi amaran kepada BERSIH agar jangan mengguling kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

"BERSIH perlu berhati-hati kerana mereka sekarang bukan nak menuntut pilihan raya bebas, mereka dah tersasar tujuan dengan nak jatuhkan kerajaan pula.

"Saya ingin beri amaran kepada mereka, bukan melalui demonstrasi jalanan, ini adalah kesalahan serius dan kita akan ambil tindakan pencegahan.

"Jangan ingat kita berdiam, kita tidak sekali menghalang apa juga aktiviti kebebasan bersuara tetapi mesti mengikut undang-udang," kata Khalid.

Khalid turut menasihati BERSIH agar perlu berhati-hati dalam kenyataan mereka.

"Kita memantau setiap minit dan saat sebarang cakap atau kenyataan mereka," katanya.

Notis BERSIH tak lengkap

Khalid berkata BERSIH telah memberi notis kepada OCPD Dang Wang tetapi malangnya notis itu tidak lengkap.

Maka, katanya BERSIH masih belum mendapat kebenaran pemunya tempat himpunan itu.

"Saya dimaklumkan mereka akan mengemukakan notis yang lengkap sama ada hari Jumaat atau hari ini.

"Saya juga dimaklumkan bahawa mereka akan bertemu dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) esok untuk memohon sama ada mereka dapat menggunakan tempat yang mereka pohon itu.

"BERSIH tak perlu bertemu saya, dia kena jumpa OCPD kerana undang-undang kata mereka perlu memohon kepada OCPD mengenai tempat himpunan," jelasnya.