Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan Datuk Mustafa Ali gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan berhubung kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan bekas timbalan presiden PAS dan bekas setiausaha agung parti itu dengan kos RM10,000.

Ia mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang setuju dengan perintah Mahkamah Tinggi bahawa ganti rugi sebanyak RM200,000 dibayar kepada Wan Ahmad.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong.

Wan Ahmad memfailkan saman terhadap Mat Sabu, yang sekarang menjadi pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) dan Mustafa pada 5 Mac 2013.

Beliau mendakwa artikel yang diterbitkan dalam Harakah edisi 1-3 Februari 2013 berdasarkan temuramah mereka pada 29 Jan 2013 yang merujuk kepada 'Projek IC Sabah' merupakan fitnah terhadapnya.

Dalam pernyataan pembelaan mereka, Mohamad dan Mustafa menafikan memfitnah Wan Ahmad, menyatakan kedudukannya sebagai penjawat awam terbuka untuk dikritik secara terbuka.

Pada 18 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Mac tahun lepas.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu pemberita bahawa secara keseluruhan, kedua-dua pemohon perlu membayar kepada anak guamnya sebanyak RM250,000 tidak termasuk faedah.

"Secara keseluruhan pemohon perlu membayar pada anak guam saya sebanyak RM250,000 - iaitu perintah ganti rugi RM200,000, perintah kos RM30,000 di Mahkamah Tinggi, RM10,000 di Mahkamah Rayuan dan RM10,000 di Mahkamah Persekutuan," katanya.

Mat Sabu dan Mustafa diwakili peguam Hanipa Maidin.

- Bernama