Kesesakan teruk di Pulau Pinang
Pengguna jalan raya di Pulau Pinang terutama di sekitar kawasan Bayan Lepas dan Bayan Baru hari ini terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk berikutan penutupan sebahagian Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Kesesakan lebih tiga jam pada waktu puncak di sebelah pagi itu menyebabkan orang ramai tiba lewat di pejabat dan sekolah, malah terdapat aduan menyatakan ada yang terlepas penerbangan.
Anggota Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dalam aplikasi WhatsApp kepada media hari ini berkata beliau menerima banyak aduan berhubung kesesakan lalu lintas itu terutama daripada pengguna Jambatan Pulau Pinang yang ingin ke tempat kerja di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas.
Mulai Sabtu lepas, sebahagian Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di antara persimpangan hilir Sungai Keluang 1 dan Lebuhraya Kampung Jawa, ditutup selama lima bulan bagi membina struktur jambatan bertingkat merentasi Sungai Keluang untuk projek Bayan Lepas Expressway (BLE) yang akan menghubungkan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Berikutan penutupan itu, kenderaan yang berulang-alik dari Jambatan Pulau Pinang ke lapangan terbang di Bayan lepas dinasihat menggunakan Jalan Tun Dr Awang, manakala kenderaan dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ke lapangan terbang dan George Town serta sebaliknya, dinasihat menggunakan Jalan Permatang Damar Laut.
Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam sidang media hari ini menyifatkan kesesakan lalu lintas yang teruk pagi ini, sebagai satu krisis besar yang dihadapi kerajaan negeri pimpinan DAP itu.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengadakan sidang media pada setiap tengah hari bagi memberi maklumat terkini kepada orang ramai berhubung aliran lalu lintas di kawasan tersebut.
Beliau berkata segala maklumat yang diberikan oleh JKR dalam sidang media itu akan dimuat naik dalam laman web kerajaan negeri.
"Kita perlu mencari penyelesaian kepada masalah ini... tapi kami mahu rakyat faham bahawa penutupan ini perlu dibuat demi keselamatan pengguna jalan raya," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dan berharap JKR dapat menyelesaikan masalah itu dalam tempoh seminggu ini.
"Aliran trafik hari ini amat buruk sampai jadi satu krisis untuk negeri Pulau Pinang sampai kereta langsung tidak boleh bergerak dan ia sesuatu yang perlu diperbaiki oleh JKR," katanya.
- Bernama

