Orang Asli rayu k'jaan percepat iktiraf tanah adat
Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP) merayu kepada kerajaan melalui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya mempercepatkan proses pengiktirafan Tanah Adat Orang Asli di negeri itu.
Penyelaras JKOAP Shafie Dris, proses itu perlu dibuat berikutan pelbagai kes yang berlaku di perkampungan Orang Asli yang semakin kritikal didakwa akibat pencerobohan oleh orang luar dan pihak berkuasa negeri.
Dalam kenyataannya, beliau berkata walaupun bantahan berhubung pencerobohan itu telah dibuat, namun tetapi aktiviti tersebut gagal dibendung oleh pihak berkuasa.
Dakwanya, selain memberi hak milik kepada syarikat tertentu, pihak berkuasa negeri meluluskan pembalakkan di kawasan tadahan air dan di atas tanah adat Orang Asli seperti di Kampung Orang Asli Sungai Mai, Kampung Pasu dan Kampung Pian di Kuala Krau.
"Oleh demikian, JKOAP menuntut Suhakam supaya menyampaikan keresahan dan tuntutan masyarakat Orang Asli kepada kerajaan khususnya Jawatankuasa Kabinet mengenai hak tanah Orang Asal/Asli, supaya mencepatkan proses pengiktirafan Tanah Adat Orang Asli," katanya.
Shafie berkata jika kerajaan lambat bertindak menyelesaikan masalah itu, dibimbangi semakin banyak tanah adat Orang Asli akan hilang dan penyelesaian tanah semakin sukar diambil kerana melibatkan undang-undang.
Katanya, kebanyakan tanah adat atau perkampungan Orang Asli juga kini bertindih dengan status rizab hutan simpan kekal, rizab perhilitan dan rizab tanah Melayu.
Katanya, ini disebabkan pengabaian kewujudan kawasan Orang Asli sejak daripada pemerintahan British termasuk semasa mendraf Akta 134.
Menurutnya lagi, pihaknya bimbang jika pihak berkuasa negeri akan menguatkuasa Akta Perhutanan Negara terhadap Orang Asli.
"Walaupun kes yang dibawa ke mahkamah sudah menang, namun kerajaan masih lagi membuat rayuan, ini menunjukan betapa penting tanah adat Orang Asli perlu diiktiraf bagi menjamin hak dan kepentingan Orang Asli terhadap tanah dilindungi di bawah undang-undang secara bertulis,” katanya lagi.
Sebagai kaedah penyelesaian, Shafie berkata JKOAP mencadangkan supaya pengiktirafan melalui geran komunal konsep komuniti dan di urustadbir oleh komuniti dilakukan.
Ia berikutan cara hidup masyarakat Orang Asli menggunakan berbagai corak penguasaan serta penggunaan wilayah Tanah Adat dari dulu hingga sekarang, kata Shafie.
Rayuan mereka itu disampaikan dalam memorandum yang dihantar kepada Suhakam semalam.

