Selepas muncul video seorang perwakilan menggesa Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berundur, timbul pula persoalan berhubung status usul bahagian itu.

Semalam, Ketua Umno Merbok Datuk Tajul Urus Mat Zin berkata walaupun terdapat gesaan supaya Najib berundur, bahagian it sebenarnya menerima usul menyokong kepimpinan Najib.

Bagaimanapun hari ini, lain pula penjelasan Perwakilan Umno cawangan Kampung Sungai Sin Abd Karim Ali, yang videonya menggesa Najib berundur secara terhormat itu tersebar di Internet.

"Usul menyeru presiden Umno meletak jawatan adalah usul yang dibahaskan dan diluluskan dengan pindaan sebulat suara oleh perwakilan pada persidangan tempoh hari.

"Ia bukan suatu kenyataan tetapi adalah cadangan perbahasan usul untuk membuat pindaan dan telah mendapat sokongan sebulat suara melalui undian dari semua perwakilan termasuk AJK (ahli jawatankuasa) bahagian dan tiada bantahan ketua bahagian Umno Merbok.

"Pengerusi Tetap persidangan Umno telah meluluskan dan menerima usul pindaan ini. Jadi ketua Bahagian Umno Merbok telah bercakap salah untuk mengalihkan isu yang sebenar," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, video Abd Karim yang mendesak Najib mengundur diri sebagai presiden dimuat naik di laman sosial.

Penyebaran video itu dilihat sebahagian usaha memberikan tekanan yang sedang berdepan pelbagai kontroversi, termasuk isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke akaun peribadinya, serta penyusutan nilai ringgit.

Usul GST, 1MDB

Sementara itu, Tajul pula ketika dihubungi Malaysiakini hari ini terus menafikan kenyataan Abd Karim yang mengatakan usul yang dibawanya lulus sebulat suara.

Menceritakan kembali sesi mesyuarat itu, Tajul berkata, selepas Karim berucap, perbahasan itu kemudian disambung oleh seorang perwakilan lain, Mejar Anwar Abd Hamid.

Jelas Tajul, Anwar membawa usul mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi lakukan siasatan terhadap 1MDB.

"Selepas dia (Abd Karim) bercakap, dia terus duduk. Kemudian di sambung perbahasan oleh Mejar Anwar Abd Hamid. Tiada sebarang usul dan undian dibuat seperti dinyatakan beliau.

“Hanya dua usul pindaan yang diterima iaitu yang dibahaskan oleh Mejar Anwar. Usul tersebut mengenai GST dan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja bagi melakukan siasatan terhadap 1MDB," katanya.