Lagi laporan polis desak tindakan pada BERSIH
Satu lagi laporan polis dibuat hari ini bagi mendesak pihak berkuasa melarang dan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur himpunan BERSIH pada 29 dan 30 Ogos ini.
NGO Salute Malaysia membuat laporan polis itu kerana membantah sekeras-kerasnya himpunan yang didakwa "mempunyai niat untuk mengganggu ketenteraman awam serta menggugat kedaulatan negara."
Laporan polis itu dibuat oleh Presiden Muhammad Nur Aizat Noor Azam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam petang ini
"Polis harus mengambil tindakan segera kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur adalah berunsurkan hasutan kepada rakyat," laporan polis itu dipetik.
Dalam laporan polis itu juga, Muhammad Aizat mendakwa himpunan itu boleh menjejaskan dan memburukkan ekonomi negara kerana menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara tidak selamat kepada pelabur.
"Jangan biarkan perkara ini berlaku, rakyat hidup dalam ketakutan. Ditambah pula pada 30 Ogos ini Malaysia akan menyambut ambang kemerdekaan," kata laporan polis itu.
Dalam laporan polis itu juga, beliau menyifatkan perhimpunan itu tidak menghormati detik sejarah negara apabila penganjur tidak memperlihatkan semangat patriotisme.
Muhammad Nur Aizat mendakwa ia tidak memberi peluang kepada rakyat yang ingin meraikan sambutan ambang merdeka.
Sehubungan itu, Muhammad Aizat yang juga ahli Parlimen Belia Malaysia menyeru supaya rakyat khususnya anak muda dan mahasiswa supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut.

