Berita Malaysiakini

Mat Taib, Kamaruddin Jaffar tinggal PAS, masuk PKR

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PKR hari ini mengumumkan penyertaan ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar dan mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam PKR.

"Sebagai parti yang mendapat jumlah undi kedua terbesar dalam pilihan raya umum lalu, PKR meraikan serta membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaha yang komited dengan agenda reformasi demi menyelamatkan Malaysia.

"Kita mengalu-alukan dan berbesar hari dengan penyertaan Datuk Kamaruddn Jaffar dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam keluarga besar PKR," kata Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib sebelum ini membuat keputusan mengejut dengan menyertai PAS.

Baru-baru ini, ketika pergolakan dalaman parti Islam itu, beliau dilihat rapat dengan kumpulan serpihan PAS Gerakan Harapan Baru (GHB), yang kemudiannya membentuk Parti Amanah Nasional (AMANAH).

Sementara Kamaruddin juga dikaitkan dengan AMANAH, sehingga menimbulkan kesangsian Pemuda PAS Kelantan yang semalam mendesak beliau menyatakan pendirian sebenar.

Penyertaan kedua-dua tokoh itu sukar difahami dalam perkembangan politik pembangkang ketika mereka cuba membentuk gabungan baru melibatkan PKR, DAP, PAS dan AMANAH.

Pemimpin AMANAH Khalid Samad turut hadir dalam sidang media itu.

Kukuhkan gabungan, bersama AMANAH

Sementara itu, kedua-dua tokoh terbabit berkata, penyertaan mereka ke dalam PKR bertujuan untuk mengukuhkan gabungan baru pembangkang dan pada masa sama tetap bersama AMANAH.

Kamaruddin berkata, beliau berasa bersyukur kerana turut terlibat dan berperanan dalam gagasab pembentukan AMANAH.

"Malah saya telah memainkan peranan aktif dengan menjadi tuan rumah mesyuarat yang akhirnya menubuhkan parti bernama AMANAH ini," katanya.

Bekas Setiausaha Agung PAS itu berkata, beliau akan memberi komitmen supaya AMANAH mendapat sokongan daripada semua pihak supaya gabungan pembangkang menjadi lebih kuat untuk menghadapi pilihan raya umum.

Sementara itu Muhammad berkata, beliau memilih PKR supaya parti tersebut menjadi lebih kukuh bersama AMANAH.

"Saya dah berbincang dengan kawan-kawan, termasuk (Ahli Parlimen Shah Alam) Khalid Samad yang datang ke rumah berbincang mengenai cadangan ini.

"Saya katakan (kepada Khalid), saya masuk nak memperkukuhkan PKR, nak memperkukuhkan AMANAH, nak memperkukuhkan alternatif gabungan yang akan ditubuhkan," katanya.

Ditanya mengapa beliau tidak menyertai AMANAH, Muhammad berkata, penyertaan ke dalam PKR tidak bermakna beliau mengetepikan parti baru itu.

"Pagi tadi pun saya bersembang dengan (pemimpin) tertinggi AMANAH, Ustaz Ahmad Awang. Saya beritahu beliau, saya ini macam orkestra. Walaupun saya dalam PKR, saya masih bersama AMANAH," katanya.

Menurut bekas Naib Presiden Umno itu, negara kini perlukan pembaharuan dan berpendapat PKR adalah parti yang sesuai dengan aspirasinya.

Khalid dalam sidang media sama pula berkata penyertaan Kamaruddin dan Muhammad ke dalam PKR dapat membantu menguatkan kerajaan Selangor.

"Saya rasa ini adalah strategi kita yang penting dan kritikal untuk membolehkan kerajaan Selangor mendapat sokongan maksimun.

"Saya rasa kedua-dua mereka dapat memainkan peranan yang baik dalam hal ini," katanya.