BERITA Malaysiakini

Insiden rempuh di Mina, kematian meningkat kepada 717

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Angka kematian dalam kejadian rempuhan ketika ibadah melontar jamrah di Mina, Arab Saudi, hari ini, telah meningkat kepada 717 jemaah, menurut Direktorat Jeneral Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi.

Menurut jabatan itu dalam laman sosial Twitter rasminya @KSA_998, bahawa 805 jemaah cedera dalam kejadian pukul 11 pagi waktu tempatan, disebabkan sikap tolak menolak bilangan besar jemaah di Jalan 204 di Mina, luar Makkah.

Kawasan tersebut merupakan salah satu daripada dua laluan utama melalui tapak perkhemahan jemaah ke jamrah.

Agensi berita Reuters melaporkan kejadian itu merupakan paling buruk berlaku ke atas jemaah dalam tempoh 25 tahun apabila 1,426 jemaah terbunuh dalam terowong berdekatan Makkah pada Julai 1990.

Kali terakhir tragedi rempuhan berlaku di Mina adalah pada 2006 yang menyaksikan 346 jemaah maut manakala 289 cedera.Jumlah kematian dan kecederaan itu disahkan oleh pasukan pertahanan awam Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Arsyad Wajdi Dusuki berkata tiada jemaah haji Malaysia disahkan terbabit dalam kejadian rempuhan di Mina setakat ini, lapor Bernama.

Kejadian rempuh-rempuhan itu berlaku apabila bilangan besar jemaah berasak-asak di Mina, di luar bandaraya suci Makkah, lapor Bernama.

Lebih kurang dua juta orang kini mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi, kata pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi.

Menurut laporan Bernama lagi, kejadian itu berlaku di Street 204 di pusat perkhemahan Mina, beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum cara kemuncak musim haji bermula.

Sementara itu, wartawan Reuters di bahagian lain di Mina berkata mereka boleh mendengar bunyi siren polis dan ambulans tetapi jalan-jalan menuju ke tempat bencana itu telah disekat untuk mengelakkan dibanjiri orang ramai.

Gambar-gambar yang disiarkan di Twitter pertahanan awam menunjukkan jemaah terbaring di atas pengusung manakala pekerja penyelamat kelihatan mengangkat mereka ke dalam ambulans.

Konvoi ambulans

Ia berkata, lebih 220 ambulans dan 4,000 pekerja penyelamat telah dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

Saluran TV milik kerajaan, Al-Arabiya, menunjukkan konvoi ambulans bergerak di kawasan perkemahan Mina.

"Kerja-kerja sedang dijalankan untuk memisahkan kumpulan besar orang ramai dan jemaah ke laluan alternatif," kata pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi dalam akaun Twitter.

Khamis juga merupakan hari raya Aidiladha di mana umat Islam melakukan ibadat korban. Secara tradisinya ia merupakan hari di mana sejumlah besar jemaah cuba melaksanakan ibadat tersebut pada masa yang sama di satu lokasi.

Dua minggu lalu 110 orang terkorban di Makkah apabila kren sebuah projek pembesaran, runtuh semasa ribut dan menghempap bahagian halaman utama Masjidil Haram, dan menimpa jemaah di bawahnya.

Bencana lepas ketika musim haji

Disember 1975 - Silinder gas masak meletup di khemah jemaah, menyebabkan kebakaran yang mengorbankan lebih 200 jemaah.

Julai 1987 - penunjuk perasaan Iran bertembung dengan polis Arab, yang mengakibatkan kematian lebih 400 jemaah haji Iran.

Julai 1990 - Di dalam terowong al-Muaissem berhampiran Mekah di Arab Saudi, 1,426 jemaah maut terhempap. Kemalangan itu berlaku pada hari raya Aidiladha.

Mei 1994 - Satu rempuhan berhampiran Jambatan Jamarat di Mina, dekat Mekah, membunuh 270 di kawasan di mana melakukan ibadah melontar.

April 1997 - 343 jemaah terbunuh dalam kebakaran khemah di kem haji di Mina, yang menyebabkan kerajaan membina khemah kekal kalis api di sana.

April 1998 - 119 jemaah maut dihempap di Arab Saudi ketika ibadah haji.

Februari 2004 - Rempuhan mengakibatkan 251 jemaah maut berhampiran Jambatan Jamarat semasa ibadah melontar.

Januari 2006 - Seramai 362 jemaah maut di pintu masuk timur Jambatan Jamarat semasa ibadah melontar.

September 2015 - Satu kemalangan kren tumbang ke dalam Masjidil Haram sebelum ibadah haji bermula, mengorban 111 jemaah.